Pernah mendengar nama Thariq bin Ziyad??Beliau adalah
penakluk Sepanyol, bumi Andalusia. Kisah penaklukannya sungguh luarbiasa dan
wajar kita jadikan suri teladan. Penaklukan Sepanyol diawali pada Isnin, 3 Mei
711 M. Saat itu Thariq bin Ziyad membawa sekitar 7,000 anggota pasukan
menyeberangi selat yang membelah benua Afrika dan Eropah dengan armada kapal.
Setelah mendarat, Thariq mengumpulkan seluruh anggota
pasukannya di sebuah bukit karang yang kini dikenali sebagai “Gibraltar” (Jabal
Thariq = bukit Thariq). Dari bukit karang inilah Thariq bin Ziyad memerintahkan
pasukannya membakar seluruh armada kapal yang baru saja mereka gunakan
menyeberangi selat Afrika-Eropah. Lantas, sang panglima gagah berani ini
menyampaikan ucapan luarbiasanya kepada seluruh anggota pasukannya;
“Wahai seluruh pasukan, ke mana lagi kalian akan lari? Di
belakang kalian laut, dan di depan kalian adalah musuh. Demi Allah,
satu-satunya milik kalian saat ini hanyalah kejujuran dan kesabaran. Musuh
dengan jumlah besar dan persenjataan lengkap telah siap dihadapan kalian.
Sementara senjata kalian adalah pedang. Perajuritku yang gagah berani, kalian
punya pilihan, apakah kalian mahu lari sebagai pengecut dan tenggelam dilautan
atau kalian memgikut jejakku. Mari kita mencapai kemenangan besar itu.”
Ya, Thariq bin Ziyad melakukan perbuatan yang luarbiasa.
Membakar kapal. Cara itu dipilih Thariq bin Ziyad dengan maksud agar pasukannya
tidak lari dari medan tempur. Pasukan yang hanya berjumlah tujuh ribu itu
ternyata mampu mengalahkan seratus ribu pasukan Raja Roderic, raja terakhir
Hispania yang berasal dari bangsa Visigoth, yang terkenal zalim dan sombong.
Apa yang boleh kita belajar dari kisah hebat Thariq bin
Ziyad?
Pertama, miliki matlamat perjuangan. Keberangkatan Thariq
dan angkatan tenteranya bukan untuk berehat-rehat atau bersantai-santai. Bukan
untuk mencari harta kekayaan mahupun kemashyuran. Bukan! Tetapi Thariq membawa
matlamat jelas, menakluk Sepanyol dan mengibarkan bendera Islam. Menumbangkan
kerajaan zalim, dan menghancurkan taghut jahiliah yang menolak Allah sebagai
Rabb dan Illah. Ini misi besar mereka. Matlamat mereka akan membawa kepada
kejelasan hasil, samada menang atau syahid menempah syurga Allah. Begitulah
seharusnya kita. Tetapkan matlamat perjuangan, miliki cita-cita mulia dan
luarbiasa, tekad dan kuat untuk mengejar dan mencapai matlamat anda. Jangan
jadi seperti layang-layang yang putus talinya. Fikirkan sejenak, untuk apa
kehidupan kita ini, untuk apa kita perlu belajar dengan gigih, untuk apa kita
perlu mengumpul wang ringgit dan kekayaan, untuk apa kita membina mahligai
perkahwinan dan memiliki anak-anak. Untuk apa? Petakan matlamat kita pada
setiap persoalan di atas dan bina matlamat yang jelas pada setiap fasa hayah
kita, insyaAllah kehidupan kita akan lebih bermakna disisi Allah SWT.
Kedua, bila ingin memenangkan persaingan dalam kehidupan
jangan pernah punya rencana untuk ’lari dari gelanggang’. Seberat apapun
masalah, persaingan dan tentangan yang ada harus kita hadapi. Ingatlah pepatah
yang mengatakan “pelaut ulung tidakkan lahir di laut yang tenang”. Orang-orang
yang hebat tidakkan lahir dari sebuah situasi tanpa tentangan dan cubaan. Tariq
mentarbiyah dengan “keras” para tenteranya agar jangan langsung berfikir untuk
berundur sebelum syahid atau menang, lalu beliau membakar kapal perang mereka.
Bukankah kapal itu aset? Tidak! Pada situasi genting itu, kapal itu bakal
menjadi beban dan punca kepada kelalaian hati untuk lari dari medan juang.
Dengan prinsip ini, kita hanya akan ada satu jalan sahaja, maju ke hadapan,
tetap tegar dan istiqamah dalam perjuangan. Jangan berfikir untuk mengalah
apatah lagi berundur.
Ketiga, jangan silau dengan kebendaan. Armada kapal yang
dinaiki Thariq bin Ziyad dan pasukannya telah mampu menghantarkan mereka sampai
di daratan Sepanyol. Misi itu, adalah misi yang luar biasa. Sebab ketika itu
teknologi pengangkutan belumlah secanggih sekarang. Kapal-kapal itu adalah aset
peperangan tetapi hangus dibakar. Thariq bin Ziyad tidak terlena mengkagumi
kapal-kapal laut yang telah menyeberangkan mereka. Memiliki kapal sebesar itu
belum tentu mampu memenangkan mereka, apatah lagi mereka harus berperang di
daratan. Bahkan boleh jadi kapal itu akan menjadi beban kepada tenteranya,
penarik jiwa untuk lari dari medan tempur. Cuba kita perhatikan kepada
mahasiswa kita hari ini yang rata-rata mendapat pinjaman dan biasiswa
pendidikan dari pelbagai institusi. Ada kalangan mereka yang menjadi lalai,
terleka dan terpedaya dengan wang pinjaman yang mereka perolehi. Akibatnya
mereka “enjoy” dan lupa diri. Wang pinjaman tadi yang sepatutnya boleh menjadi
pembantu kepada kemenangan perjuangan dalam menuntut ilmu, telah bertukar
menjadi beban dan penyebab kepada kelekaan. Manusia menjadi silau mata dan
silau iman akibat pengaruh kebendaan.
Keempat, singkirkan “comfort zone”. Bila kapal tetap ada,
mental bertempur pasukan tentu akan lemah. Boleh jadi sebahagian pasukan akan
berfikir “Ah bila kita terdesak, kita boleh kembali ke negeri kita dengan kapal
ini. Lari sahaja” Dunia berubah sangat cepat. Begitu juga hati manusia. Mudah
berubah dan cepat berubah. Tentangan yang kita hadapi juga makin kompleks.
Untuk “fight” dengan comfort zone ini, Thariq telah mencipta satu keadaan untuk
membakar motivasi iman dan perjuangan para tenteranya dengan membakar kapal.
Maka tidak ada lagi perasaan selesa untuk lari dalam diri setiap pasukannya,
perasaan itu turut terbakar bersama kapal-kapal perang itu. Nah, buat kita
semua, bila kita tidak ingin ditindas dengan cabaran zaman, khususnya cabaran
keselesaan, maka segeralah ’Bakar “Kapal” Anda’. Lalu bertempur dan bersainglah
sebagai sang satria yang tiada pilihan kedua dan ketiga, melainkan tetap maju
kehadapan.
Kelima, pada diri kita sebenarnya ada semangat Tariq bin
Ziyad. Keluarkan kekuatan dan potensi itu. Kerahkan semangat perjuangan untuk
memenangi pertempuran kehidupan anda. Jangan sampai semangatmu ditikuskan dek
hiburan melampau, santai tanpa batas dan
kemewahan kehidupan. Maka lahirlah generasi yang lemah jiwa dan akalnya. Inilah
yang sedang terjadi pada generasi muda. Potensi untuk maju dan berjaya pada
diri mereka telah diselaputi lumpur dan kekotoran akibat kelalaian dan kelesuan
diri sendiri. Semangat itu telah hancur bersama maksiat dan dosa. Hanya yang
berjiwa satria seperti Tariq sahaja yang mampu memenangkan ummat. Maka
“bakarlah” jiwamu dengan semangat perjuangan membela umatmu, agamamu dan
negaramu.
Keenam, miliki sifat berani. Tariq membangkitkan sifat
keberanian pada tenteranya. Hanya mereka yang benar-benar berani sahaja yang
mampu berhadapan dengan seratus ribu musuh nyata. Sudah tentu yang paling
berani pada saat itu adalah Thariq. Orang yang pengecut tidak akan berani
membuat keputusan dan sukar untuk maju kehadapan. Kata Pak Hamka, “Setiap
muslim mesti memiliki semangat berani di dalam dirinya, jika dia mahu
mengembalikan maruah bangsa dan agamanya.”
Menurut Paul Getty, seorang jutawan dari Amerika Syarikat,
untuk membina kejayaan seseorang perlu memiliki matlamat, dan kemudian berani
berusaha untuk mendapatkan matlamat tersebut. Keberanian di sini bukan sekadar
berani dari segi fizikal, tetapi keberanian dari segi pemikiran dan keberanian
jiwa. Berani pemikiran ialah mereka yang
berani membina sebuah matlamat dan perancangan besar yang pada pandangan orang
biasa ianya mustahil. Berani pemikiran bererti ia mampu menghidupkan fikrah
Islam sebagai fikrah hayah manusia yang lengkap dan syumul. Saat ini fikrah
Islam dilihat sebagai sekunder, tidak menjadi pakaian pada setiap umatnya,
terpisah di antara realiti dan teori, sedangkan Islam menjernihkan pemikiran
manusia sehingga mengangkat martabat manusia setinggi-tingginya di sisi Allah.
Berani jiwa adalah mereka yang bersiap menempuh cabaran
kerana tidak ada kejayaan yang datang menggolek tanpa usaha yang bersungguh.
Mereka yang berjiwa penakut tidak akan sampai ke mana-mana, malah akan
ketinggalan dan mungkin dipandang hina. Mereka yang takut untuk berjuang, lemah
imannya. Manakala mereka yang berani memiliki kekuatan iman yang kukuh untuk
terus maju ke hadapan mencapai kecemerlangan dan kejayaan. Berani jiwa dikuasai
oleh iman yang mendalam. Iman itulah yang memandunya untuk menjadi berani. Iman
itulah yang mendorong ia untuk berusaha sehabis batas. Iman itu jugalah yang
menjadi momentum untuk dia berusaha yang terbaik. Bermakna kita perlu kepada proses
mentarbiyah jiwa kita dengan proses keimanan. Thariq adalah produk tarbiyah
keimanan pada zamannya. Nah pada zaman kita ini, menjadi tanggungjawab pada
kita untuk membina kecerdasan iman yang tinggi agar jiwa kita kuat, kuat dengan
IMAN.
Ketujuh, jadilah pemimpin yang mampu merubah, bukan sekadar
merubah peta geografi daulah Islam, tetapi juga peta kehidupan. Hanya mereka
yang mampu merubah peta kehidupannya daripada insan biasa kepada luarbiasa
sahaja yang mampu memikul tugas da amanah yang berat. Seterusnya akan mampu
mengubah peta dunia menjadi sinar kembali dengan cahaya kebenaran. Thariq
memandu kita untuk membina jiwa kepimpinan yang tinggi dan tabah dalam
perjuangan. Pemimpin perlu sentiasa ke hadapan, terkehadapan hubungannya dengan
Allah, kehadapan amal ibadah dan akhlaknya. Kehadapan kualiti ilmu dan segala
kemahiran insannya. Mampu memimpin dengan benar, bersemangat, berani, miliki
perancangan rapi, tersusun, bersistematik dan kehadapan semangat jihad tanpa
henti. Semuanya itu berpunca dari satu, terkehadapan keimanannya kepada Allah
SWT dan Rasulullah SAW. Janganlah
menjadi pemimpin yang sekadar bijak berbicara dan menang membina bangunan dan
kemajuan, tetapi hilang maruah iman. Hinggakan kelesuan iman sang pemimpin itu
tidak mampu membawa orang yang dipimpinnya masuk ke syurga Allah SWT.