Semoga kisah yang dipaparkan ini dapat
menjadi iktibar kepada pejuang-pejuang negara.... Perbetulkan niat kita
sentiasa...berjuanglah kerana Allah jika tidak mahu mati sia-sia dan menjadi
penghuni neraka.
Suatu hari satu pertempuran telah berlaku di antara pihak
Islam dengan pihak Musyrik. Kedua-dua belah pihak berjuang dengan hebat untuk
mengalahkan antara satu sama lain. Tiba saat pertempuran itu diberhentikan
seketika dan kedua-dua pihak pulang ke markas masing-masing. Di sana Nabi
Muhammad s.a.w. dan para sahabat telah berkumpul membincangkan tentang
pertempuran yang telah berlaku itu. Peristiwa yang baru mereka alami itu masih
terbayang-bayang di ruang mata. Dalam perbincangan itu, mereka begitu kagum
dengan salah seorang dari sahabat mereka iaitu, Qotzman. Semasa bertempur
dengan musuh, dia kelihatan seperti seekor singa yang lapar membaham mangsanya.
Dengan keberaniannya itu, dia telah menjadi buah mulut ketika itu. "Tidak
seorang pun di antara kita yang dapat menandingi kehebatan Qotzman," kata
salah seorang sahabat. Mendengar perkataan itu, Rasulullah s.a.w. pun menjawab,
"Sebenarnya dia itu adalah golongan penduduk neraka." Para sahabat
menjadi hairan mendengar jawapan Rasulullah s.a.w. itu. Bagaimana seorang yang
telah berjuang dengan begitu gagah menegakkan Islam boleh masuk dalam neraka.
Para sahabat berpandangan antara satu sama lain apabila mendengar jawapan
Rasulullah s.a.w. itu. Rasulullah s.a.w. sedar para sahabatnya tidak begitu
percaya dengan ceritanya, lantas Baginda s.a.w. berkata, "Semasa Qotzman
dan Aktsam keluar ke medan perang bersama-sama, Qotzman telah mengalami luka
parah akibat ditikam oleh pihak musuh. Badannya dipenuhi dengan darah. Dengan
segera Qotzman meletakkan pedangnya ke atas tanah, manakala mata pedang itu
pula dihadapkan ke dadanya. Lalu dia terus membenamkan mata pedang itu ke dalam
dadanya." "Dia melakukan perbuatan itu adalah kerana dia tidak tahan
menanggung kesakitan akibat dari luka yang dialaminya. Akhirnya dia mati bukan
kerana berlawan dengan musuhnya, tetapi membunuh dirinya sendiri. Melihatkan
keadaannya yang parah, ramai orang menyangka yang dia akan masuk syurga. Tetapi
dia telah menunjukkan dirinya sebagai penduduk neraka." Menurut Rasulullah
s.a.w. lagi, sebelum dia mati, Qotzman ada mengatakan, katanya, "Demi
Allah aku berperang bukan kerana agama tetapi hanya sekadar menjaga kehormatan
kota Madinah supaya tidak dihancurkan oleh kaum Quraisy. AKU BERPERANG HANYALAH
UNTUK MEMBELA KEHORMATAN KAUMKU. Kalau tidak kerana itu, aku tidak akan
berperang." Riwayat ini telah dirawikan oleh Luqman Hakim.
No comments:
Post a Comment